KESAKSIAN ATAU KESAKTIAN

January 25th, 2010 by panjialam Leave a reply »


Malu Bertanya Sesat Jalan, Salah Bertanya Tak Jumpa Jalan

Artikel kali ini menyentuh tentang isu kesaktian ilmu kebatinan Islam khususnya di Persatuan Seni Silat Gayong Maarifat Malaysia, asal – usul penyebaran, sebab – sebab kewujudannya di dunia Melayu serta kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak JAKIM sendiri.

Jika anda adalah  seorang yang masih tercari – cari tempat untuk belajar ilmu kebatinan dan merujuk maklumat daripada internet, pastinya anda akan terjumpa insan – insan yang senasib dengan anda yang bertanya di forum – forum tentang ilmu kebatinan . Jika yang memberikan jawapan adalah seorang yang berilmu dan berkelayakan pasti jawapan yang diberikan mengandungi hikmah dan memuaskan hati yang bertanya.

Akan tetapi, amatlah berbahaya jika jawapan yang anda perolehi datangnya daripada orang yang tidak mempunyai kelayakan apatah lagi pengalaman pastilah jawapan tersebut hanyalah sekadar berbentuk pandangan sahaja dan akan mengelirukan.

Nasihat kami, tanyakanlah kepada mereka yang benar – benar berkelayakan iaitu guru ilmu kebatinan tersebut.  Teruskan membaca ..


JAWAPAN PIHAK PANEL KEMUSYKILAN AGAMA, JAKIM MENGENAI PERSATUAN SENI SILAT GAYONG MAARIFAT MALAYSIA (PSSGMM)

Persatuan Seni Silat Gayong Maarifat Malaysia adalah sebuah pertubuhan silat yang berdaftar di bawah Kementerian Dalam Negeri dengan nombor pendaftaran KDN 1176, dinaungi oleh KDYTM  Tengku Abdullah Al – Haj Ibni Sultan Hj. Ahmad Shah.  Naungan diraja ini  pastinya bukan didapati dengan mudah, pelbagai siasatan telah dilakukan oleh pihak Istana Negeri Pahang untuk memastikan bahawa pihak istana tidak menaungi sebuah pertubuhan sesat. Ini adalah kerana maruah institusi beraja akan dipersoal jika istana menaungi sebuah pertubuhan sesat.

Persoalan ilmu kebatinan sebenarnya adalah persoalan minda, bagi yang berpendidikan barat pastinya teori-teori saintifik barat yang kebanyakannya berpaksi kepada pemikiran ala athies, dimana konsep tuhan yang berkuasa atas segala-galanya ditolak, malah kewujudan tuhan itu sendiri dianggap tidak logik.

“Science does not explain everything it’s only describes them”

Dan bagi sarjana Islam yang berpaksi kepada amalan dan adat arab pula persoalan perkara mencarik adat dianggap bidaah, mereka mengaitkan perkara mencarik adat dengan kewujudan dan bantuan jin seolah-olah Allah SWT tidak berkuasa untuk menjadikan perkara mencarik adat.

Karamah para Aulia pula diperolehi dengan ? Adalah lebih tidak logik jika para Wali Allah mendapat bantuan atau berwasilah kepada jin untuk menzahirkan perkara mencarik adat. Para Wali ialah para salik ; para sufi yang menjalankan wirid khas untuk mencapai darjat yang dihajati iaitu Makam Redha  dan Diredhai oleh Allah SWT.

Amalan yang terdapat dalam Gayong Maarifat adalah amalan yang disusun oleh para ulama silam, tujuan utamanya adalah untuk mendekatkan diri pengamalnya kepada Allah SWT yang mana bila kita hampir disisiNya maka doa kita akan terus diangkat tanpa hijab. Tujuan mencarik adat hanyalah ujian bagi mereka yang berkehendak kepada dunia, disamping memperingati insan bahawa hanya Allah SWT Yang Maha Berkuasa.

Buka lembaran Sirah Rasulullah S.A.W berkaitan sebab turunnya Surah Al-Falaq, apakah yang diwahyukan oleh Allah SWT supaya dibaca oleh Rasulullah SAW ketika keluar rumah sewaktu dikepung oleh 12 orang pemuda kaum Quraisy yang berniat membunuh baginda.

Sedangkan Nabi Muhammad SAW sendiri mengamalkan sesuatu yang khusus utnuk tujuan tertentu, jadi mengapa persoalan wirid dan amalan zikir dalam perguruan silat dianggap bidaah dan batil.

Lembaran sejarah Kebatinan Islam di tanah Nusantara sebenarnya bermula dari zaman kedatangan Islam ke Nusantara Melayu pada abad ke – 13 masihi oleh ulama – ulama Islam berketurunan Rasulullah Muhammad SAW yang digelar Ahlul Baits. Pada waktu itu, ulama – ulama ini terpaksa berdepan dengan kesaktian sihir dan mandraguna pembesar – pembesar raja Melayu pada waktu itu yang beragama Hindu, Buddha dan Animisme.

Dalam misi  dakwah ulama – ulama ini terpaksa menzahirkan perkara yang mencarik adat dalam mangatasi sihir  pembesar – pembesar Melayu tersebut.

Apabila terbukti  ulama – ulama itu dapat mengatasi ahli  sihir tersebut, maka ramailah raja – raja Melayu pada waktu itu akur dan menghormai  ulama – ulama berkenaan. Maka ramailah raja – raja Melayu yang memilih untuk memeluk agama Islam dan diikuti oleh rakyat jelata di negeri masing – masing. Kejadian ini berlaku di Perlak, Pasai, Siak dan gugusan – gugusan kepulauan Melayu yang lain termasuk di Tanah Jawa. Sebagai contoh, di zaman kemunculan Wali Sembilan dimana ketika itu Ilmu Kejawen, Kanuragan dan kesaktian yang diangkat dari amalan Animisme, Hindu dan Buddha menguasai seluruh Tanah Jawa. Satu cara dakwah untuk membuktikan kebenaran Islam adalah dengan membuktikan bahawasanya agama Islam lebih hebat daripada agama – agama lain pada waktu itu.

Kesaktian dan Kanuragan ditentang dengan Karomah dan Maunah, maka agama Islam berjaya dikembangkan dengan baik keseluruh  bumi Nusantara.

Amalan zikir di Gayong Maarifat tidak akan menjadikan pengamalnya seorang wali dalam satu hari, segalanya bergantung  kepada sejauh mana ikhlas dan istiqomahnya seseorang itu melaksanakan amalan fardhu, sunat dan lain – lainnya .Segalanya bergantung kepada pengamal , walau tersyarat didalam adab Gayong Maarifat  tentang kewajiban melaksanakan solat dan lain – lain, ia hanyalah peringatan dan menjadi tanggungjawab kepada pengamal itu sendiri sekiranya adab itu dilanggar.

Gayong Maarifat adalah sebuah institusi yang mendidik akhlak sesuai dengan matlamat dan tujuan penubuhan persatuan ini. Jika persoalan adab itu diikuti dengan baik, maka dengan izin Allah SWT makin dekatlah pengamal itu kepada Allah, jika tidak maka kerugian itu berpihak kepada pengamal sendiri .

Di sini letaknya kewarasan fikiran, janganlah menjadi bangsa yang mudah label melabel, kerana sebahagian daripada sangkaan – sangkaan itu adalah dosa.

Kami mengalu – alukan pihak yang ingin bermuzakarah, agar lebih jelas kefahaman  anda dan bukan sekadar meneka dalam kesamaran tentang Persatuan Seni Silat Gayong Maarifat Malaysia.

Pusat Perhubungan Antarabangsa,

Persatuan Seni Silat Gayong Maarifat Malaysia,

No. 49, Jalan SM3, Taman Sunway Batu Caves,

61800 Batu Caves, Selangor,

Malaysia.

Advertisement

Leave a Reply

Get Adobe Flash playerPlugin by wpburn.com wordpress themes